Tuesday, August 14, 2012

untuk ingatkan diri sendiri

                                                   

   

....بسم الله الرحمن الرحيم

-السلام عليكم-








                                                          AMALAN2 MURAH REZEKI



Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
Diantaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”(Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”(Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .”(At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Sumber: http://www.hanan.com.my/


COPYRIGHT: MEDIAPRIMA

Sunday, February 12, 2012

...:Emak:...

Dah lame sgt dah tak update entri.... Kali ni baru nak update. Mak saya rajin buat kuih. Kadang2 sampai tidur lambat. Pengorbanan seorg ibu...........

Monday, December 12, 2011

ilmu yang diberi oleh pak andak semasa di kampung

Time balik kampung haritu,Pak Andak ada cerita pasal ilmu ketuhanan. Pak Andak cakap, 'kalau nak belajar ilmu ketuhanan ni,hati kita mesti ikhlas'. Aku tahu sedikit2 bab2 ilmu ketuhanan ni. Iaitu ilmu syariat,tarikat,hakikat dam makrifat. Syariat adalah hukum seperti haram,halal,makruh,harus dan lain2. Tarikat dan hakikat asyraf tak berapa pasti tapi kalau makrifat pula ia adalah tahap kita mengenal tuhan. Pak Andak cakap lagi 'yang penting kamu mesti tahu sifat wajib bagi Allah,sifat mustahil dan sifat harus. Barulah kamu akan 'asyik' ketika sujud kepada Allah. Kamu juga perlu faham apa yang dimaksudkan dengan 'awal tiada permulaan dan akhir tiada penghabisan

Saturday, September 3, 2011

...:Raya Oh Raya:...


....بسم الله الرحمن الرحيم
-السلام عليكم-

Kita sudah genap 4 hari raya. Tapi araf tetap tak tahu ape maksud raya yg sebenar. Ayah kata raya tu sekadar hari untuk kita gembira sebab dah sebulan puasa. Raya ni sekadar solat sunat aidilfitri sahaja. Lepas tu buat hal masing2. Nak berehat ke,nak kerja ke,nak makan ke,tak kisah la. Tapi orang melayu ni lain sikit,sebab diorang raya terlebih. mana ada raya sampai sebulan. Pelik sangat. Puasa sebulan,raya pon sebulan la? Pelik2. Ayah kata lagi,kat negara lain mana ada open house. Tapi kalau tak raya,tak ade open house,camna nak dapat duit raya lebih. Raya tahun ni tak tangkap gambar macam 2 tahun lepas pon. Sayangnya...

Friday, July 15, 2011

...:Hujan Oh Hujan:...

Harini hujan turun sangat lebat... Selama Araf Belajar kat SMK Gombak Setia tu,tak pernah hujan turun lebat macam tu. Semua oorang kelam kabut cari tempat teduh,kongsi payung,lari laju-laju dan macam-macam lagi la. Memang best tengok gelagat orang. Masa Araf lalu kat dalam sekolah tadi,Araf tengok temapt tanam bunga serupa kolam mandi yang keruh. Fuhh... matila semua tanaman tu. Sekarang ni pon tak berhenti lagi hujan. Rasanya,kejadian tadi boleh buat cerita Titanic la. Kat luar sekolah ada satu pondok yang rasanya boleh muat 35 orang kalau berhimpit. Tadi ramai orang berhimpit kat pondok tu. Pondok tu umpama bot keselamatan kat dalam cerita Titanic. Hahaha. Araf pon nak menyempit juga tapi tak muat.


THE END

Wednesday, May 25, 2011

PHOTOSHOOT OH PHOTOSHOOT









Photoshoot yg tak berapa bagus sngt... Kalau la ade orang yg nak ajar buat photoshoot mesti gempak kan? Ni kat KLIA,tapi ni time hantar Tok Chu Liberia...













NI lak kat Masjid Besi,. Time ni nak pergi umah Abg Budin ,sebelum pergi tu singgah sini solat Maghrib jap. Ruginye time tu tangkap gambar skit je... Tangkap gambar Masjid ni time malam memang cantik.









Ni ialah sebuah arca tupai yang diperbuat oleh tanah liat rasenye,bende ni korang boleh jumpa kat Restoran Tupai-Tupai,Shah Alam je kot... Cara photoshoot ni tak la gempak sangat tapi ok gak la... Gambar ni semua bkan Asyraf punye tapi Abg Chik... Asyraf tak reti tangkap gambar. Hehehe...



Wednesday, April 6, 2011











Makna cekak

Cekak secara dasarnya mempunyai beberapa makna, bergantung kepada dialek ataupun loghat penuturnya.

1) Makan Cekak. Di Utara terutama di Kedah, perkataan Cekak itu telah dijadikan satu simpulan bahasa - 'makan cekak'. Simpulan bahasa tersebut membawa makna bertanggungjawab. Misalnya ada suatu pekerjaan yang hendak dibuat, maka ada orang yang mengatakan:

"Ah, itu aku seorang saja pun 'makan cekak'."

Bila dibawa kembali kepada 'Silat Cekak' maka makna 'Silat Cekak' ialah silat yang bertanggungjawab menjaga diri pengamal-pengamalnya dari dianiayai oleh musuh-musuhnya.


2) Bercakak. Di dalam bahasa Minang, perkataan Cekak ada juga, tetapi tidak disebut sebagai 'Ce-kak' tetapi disebut dengan bunyi 'Cakak'. Bercakak dalam bahasa Minang membawa maksud bergaduh. Contohnya:

"Si Ali dan si Ahmad sedang bercakak di simpang tiga".

Ini membawa pengertian bahawa si Ali dan si Ahmad sedang bergaduh. Jadi kembali kita kepada makna Silat Cekak - ia membawa erti 'Silat Gaduh'. Ini bukan bermakna Silat Cekak ini suka bergaduh tetap ialah Silat yang boleh dibawa bergaduh untuk mempertahankan diri. Jelas sekali Silat Cekak sebenarnya Silat yang benar-benar untuk mempertahankan diri bukan untuk pertunjukkan di majlis-majlis kenduri ataupun di pesta-pesta. Sebab itulah Silat Cekak tidak ada tari menari, gong gendang dan langkah melangkah. Ia hanya mara kehadapan apabila bertempur dengan musuh.


3) Cekak juga membawa maksud ringkas. Keringkasan Silat Cekak ini dapat dilihat dalam sistem mata pelajarannya, yang sangat mudah dan cepat dipelajari. Ilmu Silat Cekak mendidik pengamalnya supaya tidak mengelak ke kiri atau ke kanan, tidak pula berunduk ke belakang, malah mara ke hadapan dalam gerak yang satu.

Dalam pembelajaran buah, konsep ringkas ini juga ditekankan. Kesemua 21 buah Silat Cekak itu segerak, dalam erti kata hanya memerlukan satu gerak untuk melengkapkan buah tersebut. Ini memperjelaskan lagi konsep Ringkas yang menjadi salah satu maksud perkataan Cekak itu sendiri.


4) Secekak. Secekak membawa erti segenggam. Segenggam ini pula membawa kepada banyak maksud. Pertamanya, Silat Cekak mempelajari yang segenggam bukan yang segantang. Di sini dimaksudkan bahawa mata pelajaran Silat Cekak merupakan mata pelajaran intisari silat sahaja (segenggam) bukannya cabang-cabang silat yang banyak (segantang). Oleh kerana Silat Cekak adalah mempelajari perdu gerak, maka ia sangat cepat, teratur dan dapat diajar dalam waktu yang singkat sekali.

Kedua, segenggam menunjukkan padu. Jadi Silat Cekak adalah satu Silat yang benar-benar tegas dan berpendirian. Di mana kaedah-kaedahnya memberi keyakinan kepada pengamal-pengamalnya bahawa mereka telah mendapat rahsia dan sesuatu yang berguna di dalam bidang seni mempertahankan diri.

Sukatan pelajaran dan peringkat persilatan

Ada empat peringkat pembelajaran dalam Silat Cekak.

§ Buah Asas - Mempelajari asas menangkis serangan dari hadapan.

§ Buah Jatuh - Lanjutan dari buah asas, iaitu menangkis serangan dan menjatuhkan lawan.

§ Buah Potong - Digunakan untuk menangkis semula Buah Asas dan Buah Jatuh jika pesilat Cekak lain cuba menggunakan buah Silat Cekak ke atas diri kita

§ Buah Serang - Serangan kepada pihak lawan, jika dielak pasti kena, jika ditepis kita akan menangkap dan menjatuhkan lawan. Ia juga boleh menyerang sambil menangkap (cekak menyerang, cekak menangkap).

§ Buah Umum - Mempelajari keseluruhan teknik pertahanan dan serangan untuk digunakan secara praktikal. Pada peringkat ini juga para pesilat akan diajar cara - cara untuk berhadapan dengan pengamal seni beladiri yang lain.

Senarai buah

Berikut adalah senarai buah Silat Cekak, sebanyak 21 buah. Pada asalnya jumlah buah yang ada adalah 28 kesemuanya. Ustaz Hanafi telah membuat beberapa perubahan dengan membuang dan mengabungkan beberapa buah di dalam sistem mata pelajaran ini kerana beliau berpendapat ada beberapa buah yang tidak praktikal untuk digunakan. Ada juga buah-buah yang hampir-hampir serupa dan buah-buah ini pula telah digabungkan.

1. ) Buah Pertama

2. ) Keputusan Gayong Petani

3. ) Keputusan Sendeng Atas

4. ) Buah Kilas Belakang

5. ) Buah Kilas Hadapan

6. ) Buah Kidong Kiri

7. ) Buah Kuntau Jatuh

8. ) Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung

9. ) Buah Kuntau Kanan Gantung

10. ) Buah Hentak (Keputusan Silat Harimau)

11. ) Buah Ali Patah Atas

12. ) Buah Ali Patah Sudah

13. ) Buah Selendang

14. ) Buah Gari & Gari Gunting

15. ) Buah Paras

16. ) Keputusan Pasung Kemanga

17. ) Keputusan Terlak

18. ) Keputusan Lintau

19. ) Buah Hempok

20. ) Buah Luncur

21. ) Buah Siku Potong

Antara buah-buah yang telah dibuang:

1. Buah Rasa

2. Buah Singkat Nyawa

3. Buah Pusing Tangan (Pecahan dari Gayung Petani)

4. Buah Sengkak

5. Buah Keputusan Sendeng Bawah Kiri dan Kanan

6. Buah Kidung Kanan

Sejarah

Adapun Silat Cekak ini asalnya dari Kedah. Tidaklah dapat dipastikan sama ada ia wujud hasil dari seorang atau hasil permuafakatan dari pelbagai guru. Silat ini datang dipercayai selepas kedatanganIslam di negeri ini.

Silat ini dahulunya diajarkan hanya kepada para panglima di Kedah untuk menghalang pencerobohan luar ketika itu. Orang yang paling lama diketahui mempelajari silat ini adalah Panglima Ismail yang berkhidmat di bawah Sultan Ahmad Tajuddin. Panglima Ismail, pada suatu masa telah mengalahkan seorag Batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) di Kubang Kerian, Perak.

Seterusnya, silat ini diajarkan kepada Panglima Tok Rashid yang ketika itu terpaksa berpindah ke Perak kerana di tempat tinggalnya di Kedah ketika itu diserang wabak taun. Akhirnya, Panglima Tok Rashid mengamanahkan silat ini kepada Yahya Said (Pak Ya Said) dengan pesannya: " Kalau ada anak cucuku dari Kedah yang ingin belajar, hendaklah engkau pulangkan kembali"

Maka En. Yahya Said pun diamanahkan untuk menjaga silat ini, untuk diberikan kepada yang hak empunya.

Ustaz Hanafi

Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad, pengasas dan pemimpin agung Silat Cekak Ustaz Hanafi, dilahirkan pada tahun 1923 di Kedah. Beliau memulakan pendidikan awalnya di sekolah Melayu Kampung Gunung, Alor Setar sebelum menyambung pengajian agamanya dengan beberapa orang ulama di Kedah. Bagi mendalami ilmu agamanya, beliau mengembara ke seluruh negara untuk menemui para guru yang dapat membimbingnya. Hasil penat lelah beliau berbalas apabila beliau menemui Tok Guru Pak Haji Zain bin Abdul Rahman yang dapat menghuraikan permasalahan Tauhid (soal ketuhanan di dalam agama Islam).

Semangat kemerdekaan yang menyusup ke dalam jiwa penduduk Tanah Melayu ketika itu turut menyusup masuk ke dalam jiwa Ustaz Hanafi sendiri. Beliau percaya yang orang Melayu juga mempunyai sistem beladiri yang tidak kalah dengan beladiri asing. Ustaz Hanafi terpaksa mengembara sekali lagi untuk mencari ilmu yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membela diri, menyebabkan beliau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan dan rintangan.

Namun akhirnya, Ustaz Hanafi berjaya menemui Yahya Said, yang selama 40 tahun telah menyimpan amanat Panglima Tok Rashid. Silat Cekak akhirnya dilahirkan semula pada malam 5 Ramadhan, 1385 Hijrah (28 Disember 1965).

Pada mulanya, silat ini dikembangkan di bawah pergerakan kebudayaan Perkumpulan Sari Seni Budaya Sri Kedah. Ustaz Hanafi sendiri ketika itu adalah ketua Seksyen Silat dalam kelab tersebut melantik Yahya Said untuk mengajar Silat Cekak kepada semua ahli Seksyen Silat termasuklah beliau sendiri.

Akhirnya, Ustaz Hanafi dikhatamkan sendiri oleh Yahya sendiri dan diberi mandat sebagai guru untuk mengembangkan silat ini. Yahya Said pula balik ke Perak dan tidak lagi mengajar setelah misi beliau membawa amanah Panglima telah berjaya dilaksanakan.

Selepas dikhatamkan, Ustaz Hanafi mula mengembangkan silat ini, pada mulanya di Sungai Petani dan kemudiannya di Bukit Mertajam di antara tahun 1968 dan 1969.

Silat ini mula dikembangkan di Kuala Lumpur dengan kelas pertama di Kg. Bumiputera dan Kg. Datok Keramat di bawah Persatuan Bawean Putera (1970-19 Ogos 1971) dan kemudian didaftarkan sebagai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) beralamat di No. 32, Jalan Hj. Sirat, Kampung Baru (kemudian dipindahkan ke Bangunan Silat Cekak di alamat Bangunan Silat Cekak, Jalan Sentul, Kuala Lumpur mulai pada 21 Februari 1985.

Peralihan kepimpinan

Ustaz Hanafi meninggal dunia pada 13 Ogos 1986, meninggalkan seorang balu, Maimunah Hj. Othman dan enam orang anak. Kedudukan Guru Utama dikosongkan selama 40 hari dan untuk sementara waktu, Ishak Itam memegang jawatan sebagai pemangku Guru Utama selama tujuh tahun agar dapat diserahkan semula kepada Md. Radzi Haji Hanafi, anak keempat Ustaz Hanafi.

Pada 19 Mei 1993, Silat Cekak telah dikembalikan semula kepada Md. Radzi dan diisytiharkan sebagai Guru Utama Silat Cekak pada 23 Mei 1993. Silat Cekak pula telah didaftarkan di bawahPertubuhan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi (PSSCUHM) pada 5 Ogos 1994 dengan nombor pendaftaran 5592/94 (Selangor) dan beribu pejabat di Kompleks Sukan Datuk Keramat.

Tuan Guru Hj. Md. Radzi bin Haji Hanafi (lahir pada 3 Ogos 1961 di Batu 3 1/4 Alor Setar, Kedah) merupakan anak keempat kepada Allahyarham Ustaz Hanafi Haji Ahmad. Beliau menerima mandat untuk menjadi Guru Utama Silat Cekak pada 19 Mei 1993 dari Pemangku Guru Utama iaitu Tuan Haji Ishak Bin Itam. Penyerahan ini disahkan oleh ahli Majlis Muafakat Tertinggi Silat Cekak (MMT) pada 21 Mei 1993 dan pengisytiharannya disempurnakan pada 23 Mei 1993.