Wednesday, April 6, 2011











Makna cekak

Cekak secara dasarnya mempunyai beberapa makna, bergantung kepada dialek ataupun loghat penuturnya.

1) Makan Cekak. Di Utara terutama di Kedah, perkataan Cekak itu telah dijadikan satu simpulan bahasa - 'makan cekak'. Simpulan bahasa tersebut membawa makna bertanggungjawab. Misalnya ada suatu pekerjaan yang hendak dibuat, maka ada orang yang mengatakan:

"Ah, itu aku seorang saja pun 'makan cekak'."

Bila dibawa kembali kepada 'Silat Cekak' maka makna 'Silat Cekak' ialah silat yang bertanggungjawab menjaga diri pengamal-pengamalnya dari dianiayai oleh musuh-musuhnya.


2) Bercakak. Di dalam bahasa Minang, perkataan Cekak ada juga, tetapi tidak disebut sebagai 'Ce-kak' tetapi disebut dengan bunyi 'Cakak'. Bercakak dalam bahasa Minang membawa maksud bergaduh. Contohnya:

"Si Ali dan si Ahmad sedang bercakak di simpang tiga".

Ini membawa pengertian bahawa si Ali dan si Ahmad sedang bergaduh. Jadi kembali kita kepada makna Silat Cekak - ia membawa erti 'Silat Gaduh'. Ini bukan bermakna Silat Cekak ini suka bergaduh tetap ialah Silat yang boleh dibawa bergaduh untuk mempertahankan diri. Jelas sekali Silat Cekak sebenarnya Silat yang benar-benar untuk mempertahankan diri bukan untuk pertunjukkan di majlis-majlis kenduri ataupun di pesta-pesta. Sebab itulah Silat Cekak tidak ada tari menari, gong gendang dan langkah melangkah. Ia hanya mara kehadapan apabila bertempur dengan musuh.


3) Cekak juga membawa maksud ringkas. Keringkasan Silat Cekak ini dapat dilihat dalam sistem mata pelajarannya, yang sangat mudah dan cepat dipelajari. Ilmu Silat Cekak mendidik pengamalnya supaya tidak mengelak ke kiri atau ke kanan, tidak pula berunduk ke belakang, malah mara ke hadapan dalam gerak yang satu.

Dalam pembelajaran buah, konsep ringkas ini juga ditekankan. Kesemua 21 buah Silat Cekak itu segerak, dalam erti kata hanya memerlukan satu gerak untuk melengkapkan buah tersebut. Ini memperjelaskan lagi konsep Ringkas yang menjadi salah satu maksud perkataan Cekak itu sendiri.


4) Secekak. Secekak membawa erti segenggam. Segenggam ini pula membawa kepada banyak maksud. Pertamanya, Silat Cekak mempelajari yang segenggam bukan yang segantang. Di sini dimaksudkan bahawa mata pelajaran Silat Cekak merupakan mata pelajaran intisari silat sahaja (segenggam) bukannya cabang-cabang silat yang banyak (segantang). Oleh kerana Silat Cekak adalah mempelajari perdu gerak, maka ia sangat cepat, teratur dan dapat diajar dalam waktu yang singkat sekali.

Kedua, segenggam menunjukkan padu. Jadi Silat Cekak adalah satu Silat yang benar-benar tegas dan berpendirian. Di mana kaedah-kaedahnya memberi keyakinan kepada pengamal-pengamalnya bahawa mereka telah mendapat rahsia dan sesuatu yang berguna di dalam bidang seni mempertahankan diri.

Sukatan pelajaran dan peringkat persilatan

Ada empat peringkat pembelajaran dalam Silat Cekak.

§ Buah Asas - Mempelajari asas menangkis serangan dari hadapan.

§ Buah Jatuh - Lanjutan dari buah asas, iaitu menangkis serangan dan menjatuhkan lawan.

§ Buah Potong - Digunakan untuk menangkis semula Buah Asas dan Buah Jatuh jika pesilat Cekak lain cuba menggunakan buah Silat Cekak ke atas diri kita

§ Buah Serang - Serangan kepada pihak lawan, jika dielak pasti kena, jika ditepis kita akan menangkap dan menjatuhkan lawan. Ia juga boleh menyerang sambil menangkap (cekak menyerang, cekak menangkap).

§ Buah Umum - Mempelajari keseluruhan teknik pertahanan dan serangan untuk digunakan secara praktikal. Pada peringkat ini juga para pesilat akan diajar cara - cara untuk berhadapan dengan pengamal seni beladiri yang lain.

Senarai buah

Berikut adalah senarai buah Silat Cekak, sebanyak 21 buah. Pada asalnya jumlah buah yang ada adalah 28 kesemuanya. Ustaz Hanafi telah membuat beberapa perubahan dengan membuang dan mengabungkan beberapa buah di dalam sistem mata pelajaran ini kerana beliau berpendapat ada beberapa buah yang tidak praktikal untuk digunakan. Ada juga buah-buah yang hampir-hampir serupa dan buah-buah ini pula telah digabungkan.

1. ) Buah Pertama

2. ) Keputusan Gayong Petani

3. ) Keputusan Sendeng Atas

4. ) Buah Kilas Belakang

5. ) Buah Kilas Hadapan

6. ) Buah Kidong Kiri

7. ) Buah Kuntau Jatuh

8. ) Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung

9. ) Buah Kuntau Kanan Gantung

10. ) Buah Hentak (Keputusan Silat Harimau)

11. ) Buah Ali Patah Atas

12. ) Buah Ali Patah Sudah

13. ) Buah Selendang

14. ) Buah Gari & Gari Gunting

15. ) Buah Paras

16. ) Keputusan Pasung Kemanga

17. ) Keputusan Terlak

18. ) Keputusan Lintau

19. ) Buah Hempok

20. ) Buah Luncur

21. ) Buah Siku Potong

Antara buah-buah yang telah dibuang:

1. Buah Rasa

2. Buah Singkat Nyawa

3. Buah Pusing Tangan (Pecahan dari Gayung Petani)

4. Buah Sengkak

5. Buah Keputusan Sendeng Bawah Kiri dan Kanan

6. Buah Kidung Kanan

Sejarah

Adapun Silat Cekak ini asalnya dari Kedah. Tidaklah dapat dipastikan sama ada ia wujud hasil dari seorang atau hasil permuafakatan dari pelbagai guru. Silat ini datang dipercayai selepas kedatanganIslam di negeri ini.

Silat ini dahulunya diajarkan hanya kepada para panglima di Kedah untuk menghalang pencerobohan luar ketika itu. Orang yang paling lama diketahui mempelajari silat ini adalah Panglima Ismail yang berkhidmat di bawah Sultan Ahmad Tajuddin. Panglima Ismail, pada suatu masa telah mengalahkan seorag Batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) di Kubang Kerian, Perak.

Seterusnya, silat ini diajarkan kepada Panglima Tok Rashid yang ketika itu terpaksa berpindah ke Perak kerana di tempat tinggalnya di Kedah ketika itu diserang wabak taun. Akhirnya, Panglima Tok Rashid mengamanahkan silat ini kepada Yahya Said (Pak Ya Said) dengan pesannya: " Kalau ada anak cucuku dari Kedah yang ingin belajar, hendaklah engkau pulangkan kembali"

Maka En. Yahya Said pun diamanahkan untuk menjaga silat ini, untuk diberikan kepada yang hak empunya.

Ustaz Hanafi

Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad, pengasas dan pemimpin agung Silat Cekak Ustaz Hanafi, dilahirkan pada tahun 1923 di Kedah. Beliau memulakan pendidikan awalnya di sekolah Melayu Kampung Gunung, Alor Setar sebelum menyambung pengajian agamanya dengan beberapa orang ulama di Kedah. Bagi mendalami ilmu agamanya, beliau mengembara ke seluruh negara untuk menemui para guru yang dapat membimbingnya. Hasil penat lelah beliau berbalas apabila beliau menemui Tok Guru Pak Haji Zain bin Abdul Rahman yang dapat menghuraikan permasalahan Tauhid (soal ketuhanan di dalam agama Islam).

Semangat kemerdekaan yang menyusup ke dalam jiwa penduduk Tanah Melayu ketika itu turut menyusup masuk ke dalam jiwa Ustaz Hanafi sendiri. Beliau percaya yang orang Melayu juga mempunyai sistem beladiri yang tidak kalah dengan beladiri asing. Ustaz Hanafi terpaksa mengembara sekali lagi untuk mencari ilmu yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membela diri, menyebabkan beliau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan dan rintangan.

Namun akhirnya, Ustaz Hanafi berjaya menemui Yahya Said, yang selama 40 tahun telah menyimpan amanat Panglima Tok Rashid. Silat Cekak akhirnya dilahirkan semula pada malam 5 Ramadhan, 1385 Hijrah (28 Disember 1965).

Pada mulanya, silat ini dikembangkan di bawah pergerakan kebudayaan Perkumpulan Sari Seni Budaya Sri Kedah. Ustaz Hanafi sendiri ketika itu adalah ketua Seksyen Silat dalam kelab tersebut melantik Yahya Said untuk mengajar Silat Cekak kepada semua ahli Seksyen Silat termasuklah beliau sendiri.

Akhirnya, Ustaz Hanafi dikhatamkan sendiri oleh Yahya sendiri dan diberi mandat sebagai guru untuk mengembangkan silat ini. Yahya Said pula balik ke Perak dan tidak lagi mengajar setelah misi beliau membawa amanah Panglima telah berjaya dilaksanakan.

Selepas dikhatamkan, Ustaz Hanafi mula mengembangkan silat ini, pada mulanya di Sungai Petani dan kemudiannya di Bukit Mertajam di antara tahun 1968 dan 1969.

Silat ini mula dikembangkan di Kuala Lumpur dengan kelas pertama di Kg. Bumiputera dan Kg. Datok Keramat di bawah Persatuan Bawean Putera (1970-19 Ogos 1971) dan kemudian didaftarkan sebagai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) beralamat di No. 32, Jalan Hj. Sirat, Kampung Baru (kemudian dipindahkan ke Bangunan Silat Cekak di alamat Bangunan Silat Cekak, Jalan Sentul, Kuala Lumpur mulai pada 21 Februari 1985.

Peralihan kepimpinan

Ustaz Hanafi meninggal dunia pada 13 Ogos 1986, meninggalkan seorang balu, Maimunah Hj. Othman dan enam orang anak. Kedudukan Guru Utama dikosongkan selama 40 hari dan untuk sementara waktu, Ishak Itam memegang jawatan sebagai pemangku Guru Utama selama tujuh tahun agar dapat diserahkan semula kepada Md. Radzi Haji Hanafi, anak keempat Ustaz Hanafi.

Pada 19 Mei 1993, Silat Cekak telah dikembalikan semula kepada Md. Radzi dan diisytiharkan sebagai Guru Utama Silat Cekak pada 23 Mei 1993. Silat Cekak pula telah didaftarkan di bawahPertubuhan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi (PSSCUHM) pada 5 Ogos 1994 dengan nombor pendaftaran 5592/94 (Selangor) dan beribu pejabat di Kompleks Sukan Datuk Keramat.

Tuan Guru Hj. Md. Radzi bin Haji Hanafi (lahir pada 3 Ogos 1961 di Batu 3 1/4 Alor Setar, Kedah) merupakan anak keempat kepada Allahyarham Ustaz Hanafi Haji Ahmad. Beliau menerima mandat untuk menjadi Guru Utama Silat Cekak pada 19 Mei 1993 dari Pemangku Guru Utama iaitu Tuan Haji Ishak Bin Itam. Penyerahan ini disahkan oleh ahli Majlis Muafakat Tertinggi Silat Cekak (MMT) pada 21 Mei 1993 dan pengisytiharannya disempurnakan pada 23 Mei 1993.